Sabtu, 6 Januari 2018

SINOPSIS, TEMA, DAN PERSOALAN NOVEL SONGKET BERBENANG EMAS TING 5 (KHAIRUDIN AYIP)

Sinopsis Bab demi Bab
Sipnopsis bab demi Bab sangat penting, di samping pelajar Ting 5 Sains SMK Seri Londang perlu membaca keseluruhan Novel Songket Berbenang Emas untuk memahami novel berkenaan secara keseluruhan. Apabila pelajar faham, pelajar akan tahu tema, persoalan, watak perwatakan setiap watak dalam novel berkenaan, plot novel ( permulaan, perkembangan, klimaks, dan peleraian), teknik plot, latar ( Latar tempat, latar masa, dan latar masyarakat),  gaya bahasa, nilai dan pengajaran. 

Diharapkan tempoh masa selama dua minggu untuk pelajar membaca novel dan melengkapkan sinopsis bab demi bab novel akan membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Mohon pelajar menjalankan tanggungjawab berkenaan dan sebagai memudahkan pelajar, saya selitkan sinopsis bab demi bab, tema dan persoalan seperti di bawah.




Bab
Sinopsis

1

Dahlia dan rakan-rakannya, Siti Wangi dan Kavita menjalani latihan bola jaring di sekolah.  Mereka juga merupakan kumpulan pelajar yang akan menghadapi Peperiksaan STPM tidak lama lagi.  Azhari, datang ke sekolah untuk berjumpa dengan Dahlia dan menyatakan hasratnya untuk merisik Dahlia.


2
Azhari menghantar Dahlia balik ke kampung.  Kepulangannya disambut dengan tangisan Anggerik.  Melati memberitahu bahawa ibu mereka telah lama keluar tetapi masih belum pulang ke rumah. Dahlia keluar mencari emaknya yang berpenyakit kerana sering berjalan dan bercakap sendirian sehingga tidak dapat mengawal diri sendiri.  Dahlia menjumpai ibunya di kebun getah.  Apabila diajak pulang ke rumah, ibunya tidak mahu sehinggalah bapanya datang memujuk.  Saleha lari dan mereka terpaksa meminta orang kampung membantu mencari Saleha.   


3
Nek Kiah memarahi Embong apabila melihat Saleha diikat.  Haji Sulaiman dan beberapa orang pembantu dari Hospital Batu Pahat datang ke rumah Embong untuk membawa Saleha.  Walaupun pada awalnya, Embong tidak rela, tetapi untuk mengubati Saleha, dia mengizinkan Saleha dibawa ke hospital.  Dahlia, Kiambang dan Melati turut bersedih dan keberatan ibu mereka dibawa pergi. 


4
Pemergian Saleha menyebabkan suasana bungkam.  Dahlia menyelesaikan kerja-kerja di rumah sambil membimbing adik-adiknya belajar.  Dahlia lebih merisaukan  keadaan di rumahnya sekiranya dia balik ke asrama.  Namun, Embong memujuknya untuk kembali bersekolah. Embong teringat peristiwa Saleha mengadu tentang perasaannya yang sering terganggu oleh suara yang pelik-pelik. 


5
Dahlia lewat tiba di asrama.  Cikgu Salwani menegur dan bertanyakan masalah yang dihadapi, namun Dahlia hanya mendiamkan diri.  Pada petang tersebut, Dahlia ke Hospital Batu Pahat untuk bertemu dengan ibunya tetapi diberitahu oleh Haji Sulaiman bahawa ibunya telah dihantar ke Taman Bahagia.   


6
Haji Sulaiman memberitahu Embong bahawa Saleha telah dihantar ke Taman Bahagia.  Nek Kiah berterusan menyalahkan keluarga Embong yang menyebabkan Saleha sakit.  Dahlia gagal menyelamatkan Said, anak Aton yang lemas di sungai. 



7
Dahlia terlalu sedih kerana tidak dapat menyelamatkan Said.  Aton menuduh Embong dan Dahlia memang ingin supaya anaknya mati.  Orang kampung juga menyebarkan berita yang sama.  Namun, Tauke Lim memuji mereka anak beranak.  Semasa memotong kelapa sawit di Parit Haji Kadir, Embong dibelit ular sawa tetapi dia dapat menyelamatkan diri.


8
Semasa berehat dan tertidur di biliknya, Dahlia bermimpi dibelit ular sawa.  Terdapat kesan cekikan di lehernya.  Hal ini menghairankannya.  Melati menyatakan hasratnya ingin berhenti sekolah untuk menjaga Anggerik tetapi dihalang oleh Dahlia.  Embong sampai di rumah dengan membawa ular yang telah dibunuhnya.  Dahlia menjerit ketakutan dan menangis apabila melihat ular tersebut.  Hal ini  menghairankan Embong.  Dahlia menceritakan mimpi yang dialaminya kepada Embong. 


9
Najib dan Kavita mengunjungi rumah Dahlia.  Mereka berasa sayu akan kedaifan keluarga Dahlia.  Anggerik yang masih sakit dibawa dengan kereta Najib ke hospital.  Seman, bapa saudara Dahlia balik ke kampung menziarahi Nek Kiah.  Seman memujuk Nek Kiah supaya menjual tanah dan rumah yang didiami oleh Embong dan keluarganya.


10
Cikgu Salwani memarahi Dahlia yang tidak tinggal di asrama lagi dan sering lewat sampai ke sekolah.  Dia tidak mahu memberitahu masalahnya kerana akan melibatkan nama baik ibunya kepada Cikgu Salwani.  Dia juga mahu menjaga adik-adiknya.  Dengan perasaan sedih, Dahlia mengambil keputusan untuk keluar dari asrama.  Cikgu Hisyam berjumpa dengan Dahlia setelah Kavita menceritakan hal Dahlia kepadanya.  Beliau menasihatkan Dahlia terus tinggal di asrama agar pelajarannya tidak terganggu dan cemerlang dalam STPM nanti.


11
Abu Bakar, adik Dahlia tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri dan sering keluar berpeleseran dengan kawan-kawannya.  Walaupun kerap diimarahi oleh Embong, dia tetap dengan perangainya dan tidak mahu membantu adik-adik yang lain.  Mawar yang tinggal di asrama penuh kembali ke rumah kerana rindu akan ibunya dan ingin berjumpa dengannya.  Dia tercari-cari ibunya tetapi tidak ditemuinya.  Embong tidak memberitahunya tentang keadaan Saleha dan menyuruh Mawar bertanyakan Dahlia.  


12
Dahlia melawat ibunya di Taman Bahagia.  Doktor memberitahu Dahlia bahawa penyakit ibunya pada tahap bahaya.   Semasa di hospital, Dahlia bertemu dengan Azhari yang bertugas sementara di situ.  Dahlia berasa sedih kerana Saleha tidak mengenalinya.  Kesihatan Saleha bertambah menurun.



13
Azhari menghantar Dahlia balik ke rumahnya.  Embong bertanyakan keadaan Saleha.  Oleh sebab memikirkan Mawar akan mengambil SRP pada bulan September nanti, Dahlia menyatakan bahawa ibunya sihat.  Namun dia tidak sanggup menipu ayahnya.  Pada malamnya, Dahlia memberitahu keadaan sebenar Saleha kepada Embong.  Semasa berbual-bual, sesuatu telah berlaku kepada kambing peliharaannya.  Embong keluar dan menuju ke kandang kambingnya.


14
Tauke Lim sentiasa membantu keluarga Embong.  Tauke Lim membenarkan mereka berhutang barang-barang keperluan di kedainya.   Tauke Lim datang ke rumah Embong untuk membeli kambing peliharaannya.  Namun, Embong memberitahu bahawa kambingnya telah hilang dicuri orang.  Azhari ingin membawa keluarganya untuk merisik Dahlia.   Dahlia keberatan dan meminta Azhari menangguhkan hasratnya.  Dia bimbang keluarga Azhari tidak akan memerimanya setelah melihat keadaan sebenar keluarganya.  Embong memanggil Dahlia dan memberitahu bahawa kawan Dahlia datang ke rumah.


15
Keluarga Azhari datang untuk merisik Dahlia. Embong menerima baik kedatangan keluarga Azhari kerana mereka begitu menyenangi Dahlia dan merestui perhubungan ini. Embong juga menyuarakan kehendak Dahlia yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat universiti dan bekerja untuk membantu keluarga. Keluarga Azhari tidak membantah malahan menyokong keinginan Dahlia untuk menyambung pelajaran. Perasaan Azhari menjadi tenang kerana keluarga Dahlia menerimanya sebagai calon menantu. Selepas Azhari dan keluarganya beredar, Embong bertanyakan Dahlia sama ada keluarga Azhari mengetahui tentang keadaan Saleha yang boleh menyebabkan ikatan ini terputus. Perasaan Embong masih berbaur antara gembira ataupun sedih selepas anaknya disunting orang. Embong terbawa-bawa dengan perasaannya dan mengingati Saleha yang masih ditahan di Taman Bahagia, Johor Bahru. Embong yang merasakan dirinya telah lewat ke masjid, tergesa-gesa untuk bersiap. Embong menuju ke bilik air tetapi seekor ular telah mematuk pahanya.


16
Dahlia menasihati Mawar agar meneruskan persekolahan dan tugas menjaga keluarga adalah tugasnya sebagai anak sulung dalam keluarga. Dahlia berjaya menyakinkan Mawar supaya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajarannya kerana dia pernah berjanji dengan emak mereka untuk mendapatkan keputusan cemerlang. Tambahan pula Mawar adalah murid sekolah berasrama penuh. Keluarga mereka menghadapi pelbagai masalah, iaitu emak dan adik sakit, kambing hilang dan abah dipatuk ular. Dahlia mengambil iktibar daripada kisah Nabi Ibrahim yang tabah dalam menghadapi ujian daripada Allah. Sewaktu melawat abahnya di Hospital Batu Pahat, Dahlia terserempak dengan Kavita dan Cikgu Hisyam yang menghantar Siti Wangi yang pengsan sewaktu berlatih bola jaring. Cikgu Hisyam meminta Kavita menolong memfotostat nota-nota pelajaran sepanjang ketiadaan Dahlia di sekolah. Dahlia terkenangkan pesanan abahnya yang meminta dia menjaga adik-adik di rumah dan menggunakan wang simpanannya sebanyak RM60.00 sebagai belanja sekolah. Kedatangan Nek Siah dan Seman ke hospital telah membawa berita yang mengejutkan, iaitu mereka mahu menjual tanah dan rumah yang didiami oleh Dahlia dan keluarganya.


17
Walaupun terbeban dengan pelbagai urusan, Dahlia tetap mencuri masa untuk mentelaah pelajarannya. Kemunculan Abu Bakar telah mengejutkan Dahia. Dahlia telah memberitahu Abu Bakar bahawa emak dan abah mereka telah dimasukkan ke hospital tetapi tidak diendahkan oleh Abu Bakar. Tanpa menunjukkan simpati akan keadaan keluarganya, Abu Bakar meninggalkan rumah sekali lagi. Dahlia memeriksa barang yang disembunyikan oleh Abu Bakar dan berjaya menemui wang sebanyak RM120.00 yang disimpan dalam dompet. Azhari telah singgah di rumah Dahlia dan mendapat khabar bahawa abah telah dimasukkan ke hospital. Azhari singgah untuk mengambil pakaian emak Dahlia dan dalam masa yang sama mendapatkan nombor wad abah Dahlia. Kedatangan Nek Kiah telah menyebabkan Dahlia sakit hati dan geram kerana dia disindir selepas Nek Kiah terserempak dengan Azhari. Sikap Nek Kiah yang beria-ia untuk menjual rumah mereka telah menimbulkan kekecewaan kepada Dahlia. Ketamakan Seman turut mempengaruhi Nek Kiah untuk menjual tanah itu walaupun emak dan abah Dahlia masih berada di hospital.


18
Dahlia berasa susah hati kerana kedua-dua ibu bapanya masih di hospital sedangkan mereka memerlukan RM15000 untuk membayar Nek Kiah bagi menyelamatkan tanah dan rumah mereka. Dahlia juga berasa serba salah sama ada meneruskan persekolahan atau bekerja di kilang demi membantu keluarga. Semasa menunggu bas, Dahlia didatangi oleh Tauke Lim. Tauke Lim menunjukkan keprihatinan dirinya dengan mengambil berat akan keadaan yang menimpa keluarga Dahlia. Tauke Lim juga menunjukkan kekecewaan dirinya terhadap sikap Nek Kiah dan Seman yang tidak putus-putus menyusahkan Dahlia sekeluarga. Dahlia dinasihati oleh Tauke Lim agar bertahan dan tidak berpindah dari rumahnya.  Selain itu, Tauke Lim turut menawarkan pertolongan kepada Dahlia. Pada mulanya Dahlia enggan untuk menerima pertolongan tersebut tetapi bertukar fikiran selepas Tauke Lim memintanya untuk mengajar karangan Bahasa Malaysia kepada anaknya Ann yang akan mengambil peperiksaan SRP. Perihal Bakar yang tidak habis belajar dan malas bekerja turut diperkatakan oleh Tauke Lim. Perbualan mereka terhenti kerana terdapat sebuah kereta yang tiba-tiba berhenti dan penumpangnya telah melaungkan nama Dahlia.


19
Cikgu Hisyam dan Kavita telah memujuk Dahlia agar kembali bersekolah tetapi Dahlia tidak mahu mengabaikan adik-adiknya yang sangat memerlukan sokongan daripadanya. Selain itu, Najib kawan baiknya turut datang melawatnya di rumah. Najib menawarkan pertolongan kepada Dahlia untuk membayar harga tanah seperti yang diminta oleh Nek Kiah. Dahlia enggan memberitahu hal sebenar kepada Najib kerana tidak ingin mendedahkan bahawa orang yang ingin menjual tanah tersebut ialah neneknya sendiri. Pada yang sama juga Azhari singgah di rumah Dahlia. Perasaan Azhari tidak senang kerana tetamu Dahlia ialah seorang lelaki. Najib yang sudah lama berkawan dengan Dahlia bertanyakan Azhari tentang status hubungannya dengan Dahlia. Azhari menyatakan bahawa Dahlia ialah bakal isterinya dan selepas itu terus beredar dari situ. Nek Siah yang berada tidak jauh dari rumah Dahlia telah datang dan memarahi Dahlia kerana membenarkan Najib dan Azhari masuk ke rumah sedangkan ibu bapanya tiada di rumah.


20
Embong telah dibenarkan pulang ke rumah setelah dimasukkan ke wad selama beberapa hari. Tauke Lim mengunjungi Embong di rumah dan menceritakan tentang tanah yang ingin dijual oleh Nek Kiah dan Seman. Nek Kiah yang tidak menyedari kepulangan Embong telah datang ke rumah dan memarahi Dahlia. Nek Kiah tergesa-gesa pulang setelah mendapati Embong naik berang. Embong menasihatkan Dahlia supaya menyambung pelajaran semula dan menyerahkan segala masalah keluarga mereka kepadanya untuk diselesaikan. Embong berasa terharu kerana hanya Tauke Lim sahaja yang datang menemuinya selepas dia keluar dari hospital. Malahan Tauke Lim juga sanggup membantunya untuk menyelesaikan masalah tanah tersebut.


21
Dahlia telah ke balai raya untuk bergotong royong bagi menjayakan Majlis Maulidurrasul. Dahlia berasa hairan kerana keadaan di balai raya lengang dan orang-orang kampung tidak kelihatan seperti biasa. Haji Sulaiman meluahkan perasaan tidak senangnya kepada Dahlia atas sikap orang kampung yang tidak hadir ke balai raya untuk menyiapkan kenduri menyambut maulud nabi. Semasa Dahlia bekerja seorang diri, Aton datang dan tanpa perasaan bersalah dia menyindir dan mengata Dahlia sesuka hatinya. Malahan dia turut mempertikaikan kebaikan Tauke Lim kepada keluarga Dahlia. Dahlia yang berasa malu telah beredar dari situ. Abu Bakar yang menyaksikan peristiwa itu telah naik marah dan cuba menerpa ke arah Aton tetapi sempat dihalang oleh Haji Sulaiman. Kepulangan Dahlia ke rumah dan diikuti oleh Abu Bakar telah menimbulkan kehairanan kepada Embong. Embong berasa lebih hairan kerana Abu Bakar yang tidak mempedulikan keluarga beria-ia memujuk Dahlia yang sedih kerana kata-kata Aton di balai raya. Abu Bakar berasa bersalah kerana selama ini dia telah mengabaikan keluarganya. Akhirnya Abu Bakar mengaku bahawa dialah yang menjualkan kambing abahnya.


22
Abu Bakar berasa kesal kerana telah menjualkan kambing abahnya tetapi Dahlia cuba memujuk Abu Bakar. Abu Bakar berasa insaf kerana selama ini dia telah mengabaikan keluarganya demi kawan-kawan. Abu Bakar juga berjanji dengan Dahlia untuk berubah dan akan mempertahankan tanah mereka daripada gangguan Nek Kiah. Dahlia meluahkan rasa hairannya kepada Abu Bakar kerana dia tidak nampak kelibat Nek Kiah pada pagi itu. Abu Bakar tidak mempedulikan perkara itu sebaliknya sibuk berkemas di sekeliling rumah mereka. Semasa membersihkan bawah rumah, Abu Bakar telah menjumpai sesuatu yang mengejutkan, iaitu dua biji telur yang berwarna hitam. Telur hitam yang dipecahkan itu mengandungi jarum peniti, cincin akek, butiran pasir dan dua bilah paku. Abu Bakar menerangkan bahawa ada orang yang dengki akan keluarga mereka tetapi Dahlia tidak mempercayai perkara syirik dan menyuruh Abu Bakar tidak menyimpan perasaan dendam. Dahlia menjenguk keadaan Nek Kiah di rumahnya tetapi niat baik Dahlia itu dibalas dengan kata-kata kesat.


23
Dahlia kembali bersekolah dan dia berasa gembira kerana kawan-kawan masih mengingati dirinya. Kavita telah memberitahu Dahlia bahawa Najib akan membawa keluarganya berkunjung ke rumah Dahlia. Dahlia berasa tertekan kerana Najib dan Azhari hanya mementingkan diri mereka sahaja. Dahlia meminta Kavita menyampaikan pesanan kepada Najib bahawa dia sudah bertunang dan hanya menganggap Najib sebagai sahabat baiknya sahaja. Dahlia berasa bersemangat untuk belajar kerana guru dan kawan-kawan sentiasa memberikan sokongan kepadanya. Dahlia yang baru pulang dari sekolah berasa terperanjat kerana terdapat van putih di hadapan rumahnya. Embong yang menyedari kepulangan Dahlia telah menggesa Dahlia naik ke rumah. Dahlia berasa gembira kerana ibunya telah pulang ke rumah. Belum sempat Dahlia bermesra dengan ibunya, Embong memanggil Dahlia kerana Azhari ingin berjumpa dengannya. Azhari bertanyakan tentang Najib dan Dahlia meminta Azhari sendiri yang memikirkan jawapannya. Dahlia yang bimbangkan keadaan Nek Kiah telah ke rumah neneknya dan memanggil nama orang tua itu tetapi tiada jawapan. Azahari menolong menolak pintu dan Dahlia mendapati bahawa neneknya tidak sedarkan diri.


24
Nek Kiah dimasukkan ke hospital. Setelah dua hari di hospital, dia dibenarkan pulang, Nek Kiah dibawa ke rumah Dahlia dan mereka sekeluarga menjaga Nek Kiah yang masih sakit. Nek Kiah berasa terharu kerana Dahlia dan adik-adiknya yang menjaga Nek Kiah semenjak dia jatuh sakit. Hujan yang tidak henti-henti turun telah menyebabkan banjir. Tiang dapur rumah mereka runtuh dan menimpa Kiambang tetapi nasibnya baik kerana hanya lebam-lebam sahaja. Mereka sekeluarga telah dipindahkan ke balai raya dengan bot. Semasa di pusat pemindahan, Dahlia dan ibunya menolong menyediakan makanan untuk mangsa banjir.


25
Dahlia tidak dapat mengulang kaji pelajaran kerana keadaan di pusat pemindahan yang begitu sesak dan tidak selesa. Embong memberitahu Dahlia bahawa rumah mereka telah roboh tetapi Dahlia dapat menerimanya. Selepas empat hari barulah air surut. En Daim, iaitu wakil Ahli Parlimen Seri Gading sering menjenguk mangsa banjir untuk melihat keadaan mereka. Dia yang pernah menjadi guru kepada Dahlia telah memuji Dahlia kerana rajin mengulang kaji pelajaran walaupun tempat itu tidak selesa. Tebing sungai yang pecah telah dibaiki dan jambatan yang dihanyutkan air akan digantikan dengan yang baru. Haji Sulaiman telah menyampaikan ucapan dan meminta orang-orang kampung agar bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain. Hasil ucapan Haji Sulaiman itu orang-orang kampung telah datang untuk membina semula rumah Dahlia.


26
Peperiksaan STPM semakin hampir dan Dahlia sudah bersedia, Dia juga membuat keputusan untuk tinggal di asrama kerana bimbang dirinya terlewat ke tempat peperiksaan. Cikgu Salwani mengalu-alukan keputusan Dahlia untuk tinggal di asrama. Azhari dan keluarganya datang ke rumah Dahlia untuk bertanyakan keputusan keluarga Dahlia tentang perhubungan mereka. Akhirnya persetujuan diambil, iaitu mereka akan ditunangkan selepas Dahlia tamat peperiksaan STPM. Kavita bertanyakan Dahlia tentang pelawaan yang dibuat oleh Najib sebelum ini tetapi Dahlia menolak permintaan itu dengan memberitahu bahawa dirinya sudah dimiliki oleh orang lain,



27
Dahlia menunggu kedatangan Azhari untuk membeli cincin pertunangan dan pada masa yang sama dia masih mempertimbangkan keinginan dirinya yang mahu menyambung pelajaran ke universiti dan bekerja untuk membantu keluarga. Sewaktu menunggu kedatangan keluarga Azhari, rumah Dahlia didatangi oleh Cikgu Daim yang membawa khabar gembira, iaitu Dahlia terpilih untuk menyambung pelajaran ke Jepun. Dahlia berasa amat gembira dan keluarganya menyokong. Namun begitu pendaftaran untuk kursus ini sehari selepas tarikh pertunangannya. Azhari yang baru sampai telah terdengar berita itu dan dia terpaksa merestui pemergian Dahlia kerana sudah berjanji semasa merisik dahulu.


28
Majlis pertunangan Dahlia akan diadakan mengikut tarikh yang dirancang. Hubungan antara Nek Kiah dan Dahlia bertambah erat. Nek Kiah menerangkan kepada Dahlia berkenaan falsafah tepak sirih kepada Dahlia. Selain itu, pengertian bagi setiap kandungan dalam tepak sirih turut diceritakan oleh Nek Kiah kepada Dahlia. Suasana di rumah Dahlia semakin riuh dengan kedatangan saudara mara dekat dan jauh. Dahlia hanya bersiap secara ringkas sahaja dan dalam yang sama dia berasa sedih kerana pada petangnya dia akan berangkat ke Kuala Lumpur. Nek Kiah telah menghadiahkan gelang pusakanya kepada Dahlia. Cikgu Hisyam, Kavita dan Siti Wangi datang memeriahkan majlis pertunangan Dahlia. Berita Dahlia mendapat tawaran ke Jepun turut diketahui oleh mereka. Bas Dahlia akan bertolak pada pukul 5,00 petang tetapi rombongan Azhari yang berjanji datang pada pukul 2.00 masih belum kelihatan sedangkan waktu sudah menginjak pukul 3.45 petang. Embong menyuruh Dahlia bersiap kerana khuatir dia ketinggalan bas. Dahlia bersalaman dengan ahli keluarga dan tetamu yang datang. Dia berasa sedih kerana akan meninggalkan mereka. Haji Sulaiman menyerahkan sumbangan orang kampung sebanyak RM500.00. Dahlia bernasib baik kerana sempat sampai ke stesen bas. Tiba-tiba Azhari muncul dan mereka sempat mengucapkan selamat tinggal. Dahlia membaca kad kiriman Najib yang disampaikan melalui Kavita. Azhari menghadiahkan songket merah berbenang emas kepada Dahlia atas kejayaannya. Azhari menghadiahkan Dahlia songket supaya Dahlia sentiasa mengingati asal usulnya sebagai orang Melayu.



SINOPSIS KESELURUHAN

Cerita Songket Berbenang Emas mengisahkan kegigihan Dahlia yang memegang peranan sebagai pelajar dan anak sulung dalam keluarga Embong yang menghadapi kesusahan yang bertimpa-timpa.  Dahlia merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan disukai oleh rakan-rakannya.  Namun, akibat masalah keluarga yang dihadapi, tumpuannya terhadap pelajaran terganggu.  Setelah ibunya dimasukkan ke Taman Bahagia, Dahlia terpaksa menjaga adik-adiknya di rumah dan menyebabkan dia sering lewat ke sekolah.  Akhirnya dia mengambil keputusan untuk keluar terus dari asrama.   Masalahnya bertambah apabila difitnah oleh Aton yang melihatnya dihantar balik oleh Azhari dan dituduh membunuh Said yang tidak dapat diselamatkan semasa lemas di sungai.  Keluarga mereka diuji lagi apabila Embong sebagai ketua keluarga dipatuk ular tedung dan dirawat di hospital selama beberapa hari.  Segala beban tugas rumah tangga terpaksa dipikul oleh Dahlia tanpa meninggalkan tugasnya sebagai seorang pelajar.  Dahlia tetap tabah menghadapi semua dugaan yang dihadapinya.  Adiknya, Abu Bakar telah menjumpai dua biji telur ayam yang berwarna hitam mengandungi paku, cincin akek, butiran pasir dan jarum semasa membersihkan kawasan di bawah rumah mereka. Selepas peristiwa tersebut, Saleha beransur baik dan dibenarkan keluar dari hospital.  Azhari telah menghantarnya balik ke rumah.  Nek Kiah tidak lagi membenci dan menghina keluarga Dahlia. Pertolongan Dahlia sekeluarga semasa dirinya terlantar sakit telah menimbulkan keinsafan kepada Nek Kiah. Sepanjang menghadapi permasalahan, Dahlia dapat menangani semua itu dengan jayanya dan memperoleh hasil seperti yang diinginkannya.  Dahlia terpilih sebagai seorang daripada pelajar yang akan dihantar melanjutkan pelajaran ke Jepun.  Dahlia juga selamat ditunangkan dengan Azhari, lelaki pilihan hatinya. Cerita berakhir dengan kegembiraan apabila mereka sekeluarga dapat berkumpul semula dan Saleha sudah sembuh daripada penyakitnya.

TEMA

Ketabahan seorang gadis dalam mengharungi liku-liku hidup yang penuh cabaran.  Dahlia sebagai anak sulung dalam keluarganya terpaksa memikul tanggungjawab untuk membantu ayahnya menguruskan rumahtangga setelah ibunya, Saleha, dihantar ke Taman Bahagia.  Dahlia terpaksa keluar dari asrama untuk menjaga adik-adiknya, Melati, Kiambang dan Anggerik.  Satu persatu masalah yang menimpa Dahlia.  Dia difitnah oleh jirannya, Aton.  Anggerik mengalami demam yang berpanjangan.  Ayahnya dipatuk ular tedung dan terpaksa dirawat beberapa hari di hospital.  Namun, dalam menjalankan tanggungjawabnya, Dahlia tidak pernah melupakan impiannya untuk menjadi pelajar yang cemerlang dalam STPM. 
Contoh, soalan dan jawapan soalan bahagian 4 (a), Kajian  berdasarkan satu novel yang dikaji.

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji, huraikan tema novel tersebut. ( 7 markah)
JENDELA MENGHADAP JALAN
Berdasarkan novel Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin, pengarang memaparkan tema kecekalan seorang gadis dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan.
Tema ini terbukti apabila Lili sebagai watak utama cekal menghadapi kerenah ibunya yang menyuruh dia menghabiskan cuti persekolahan di Kampung Sentosa, tempat kelahiran ibunya. Lili akur akan cadangan tersebut kerana dia amat menyayangi ibunya.
         Selain itu, Lili  juga cekal berusaha untuk menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh jiran datuknya, Che Jah yang selalu dipukul dan dicemuh oleh suaminya, Seman. Akhirnya, atas inisiatif Lili ,bantuan Kak Mimah serta pengakuan Che Jah bahawa suaminya mencuri kubah surau kampung, Seman berjaya ditangkap dan akan didakwa di mahkamah atas perbuatan kejamnya itu.

Berdasarkan sebuah novel yang telah anda kaji, huraikan tema novel tersebut. ( 7 markah)
SONGKET BERBENANG EMAS
Novel yang saya kaji di Tingkatan 5 pula Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip, pengarang memaparkan tema kegigihan seorang gadis dalam mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupannya.
Berdasarkan Novel Songket Berbenang Emas, gambaran kecekalan gadis dipaparkan melalui watak utama iaitu Dahlia. Sebagai seorang gadis yang sentiasa menghadapi nasib malang, beliau tetap gigih menghadapi ujian dalam hidupnya serta berusaha mengatasi masalah yang menimpa diri dan keluarganya dengan semangat yang kental. Contohnya,, Dahlia gigih menghadapi dugaan apabila ibunya, Saleha terpaksa dihantar ke hospital Batu Pahat, kemudian dipindahkan ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk menjalani rawatan pemulihan akibat menghadapi penyakit kemurungan.

Selain itu, kegigihan Dahlia yang seterusnya dapat dilihat apabila dia dapat menghadapi sikap prejudis neneknya, Nek Kiah terhadap mereka sekeluarga dengan matang dan tenang. Dahlia juga mendepani cacian dan tohmahan Aton yang menuduhnya membunuh Said dan menggelarnya perempuan murahan serta kenalan ramai lelakinya.

Sebagai cadangan jawapan soalan 4 (a), Pelajar boleh memilih sama ada menjawab kajian Novel Jendela Menghadap Jalan ( Tingkatan 4) atau Novel Songket Berbenang Emas ( Tingkatan 5) seperti di atas.

Contoh Soalan dan jawapan  4 (b),  Kajian dua novel yang anda kaji.
Berdasarkan dua novel yang anda kaji,  huraikan tema kedua-dua novel berkenaan.

     Berdasarkan dua novel yang saya kaji, iaitu Novel Jendela Menghadap Jalan  karya Rohani Matdirin( Tingkatan 4) dan Novel Songket Berbenang Emas, karya Khairuddin Ayip, tema kedua-dua novel berkenaan mempunyai persamaan  iaitu ketabahan seorang gadis dalam mengharungi  pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupan remaja mereka.

      Saya berpendapat sedemikian kerana, watak utama Novel Jendela Menghadap Jalan iaitu Lili kerap menghadapi dugaan dalam kehidupannya sebagai seorang gadis remaja. Sebagai contoh Lili cekal menghadapi kerenah ibunya yang menyuruh dia menghabiskan cuti persekolahan di Kampung Sentosa, tempat kelahiran ibunya. Lili akur akan cadangan tersebut kerana dia amat menyayangi ibunya walaupun dia berhasrat untuk bersama-sama rakan-rakan pada saat terakhir alam persekolahannya.

      Selain itu, Lili  juga cekal berusaha untuk menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga yang dihadapi oleh jiran datuknya, Che Jah yang selalu dipukul dan dicemuh oleh suaminya, Seman. Akhirnya, atas inisiatif Lili ,bantuan Kak Mimah serta pengakuan Che Jah bahawa suaminya mencuri kubah surau kampung, Seman berjaya ditangkap dan akan didakwa di mahkamah atas perbuatan kejamnya itu

         Sementara itu, Novel Songket Berbenang Emas juga memaparkan  tema kegigihan seorang gadis dalam mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan dalam kehidupannya. Contohnya, watak utama novel ini iaitu Dahlia gigih menghadapi ujian dalam hidupnya serta tidak pernah mengalah dengan nasib malang yang menimpa diri dan keluarganya. Sebaliknya dia berusaha untuk menempuh semua ujian tersebut dengan semangat yang kental. Dahlia gigih menghadapi dugaan apabila ibunya, Saleha terpaksa dihantar ke hospital Batu Pahat, kemudian dipindahkan ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk menjalani rawatan pemulihan akibat menghadapi penyakit kemurungan.

        Selain itu,  Dahlia juga sabar menghadapi sikap prejudis neneknya, Nek Kiah terhadap mereka sekeluarga dengan tenang. Dahlia juga mendepani cacian dan tohmahan Aton yang menuduhnya membunuh Said dan menggelarnya perempuan murahan serta kenalan ramai lelakinya.



PERSOALAN

Bil
Persoalan
Contoh
1
Kejayaan hasil daripada kegigihan dalam pelajaran
Dahlia tetap mengutamakan pelajarannya dengan meminjam nota dan bertanyakan kepada Kavita dan Siti Wangi walaupun terpaksa membantu ayahnya menguruskan rumah tangga setelah ibunya di hantar ke hospital untuk menerima rawatan.
2
Kemiskinan dalam masyarakat kampung
Dalam dunia moden hari ini, masih ada masyarakat kampung yang masih miskin dan memerlukan bantuan untuk menjalani kehidupan.  Contohnya keluarga Embong yang masih miskin dan terpaksa berhutang dengan Tauke Lim untuk membeli barang-barang keperluan harian.
3
Berani bertindak dalam menghadapi situasi yang bahaya
Embong berjaya mengalahkan ular sawa yang cuba membelitnya sewaktu memotong kelapa sawit di ladang

4
Keinsafan selepas menyedari kesilapan diri
Nek Kiah akhirnya insaf setelah Dahlia yang selama ini dibencinya telah menjaga dan merawatnya ketika terlantar sakit.  Begitu juga dengan Abu Bakar yang selalu berpeleseran sehingga sanggup mencuri kambing ayahnya kerana dia berubah sikap setelah ditempelak oleh rakan-rakannya sendiri.

5

Bantu membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang lain
Kavita membantu Dahlia mengulang kaji pelajaran dengan memberikan nota pelajaran sepanjang ketidakhadirannya ke sekolah.  Najib cuba menghulurkan bantuan kewangan semasa Nek Kiah beria-ria ingin menjual tanahnya yang menjadi tempat tinggal Dahlia dan keluarganya.

6
Kepentingan ilmu bagi mengubah taraf hidup
Embong amat mementingkan pelajaran dan sering menasihatkan anak-anaknya agar belajar bersungguh-sungguh.  Embong mengharapkan anak-anaknya dapat mengubah taraf hidup keluarga setelah berjaya dalam pelajaran mereka nanti.

7
Pengamalan ilmu hitam dalam kalangan masyarakat
Penemuan dua biji telur ayam berwarna hitam yang berisi jarum, cincin akek, butiran pasir dan dua batang paku oleh Abu Bakar di bawah rumah mereka menunjukkan bahawa masyarakat masih mengamalkan ilmu hitam untuk menganiaya orang lain.

8
Bertanggungjawab dalam menjalankan tugas
Haji Sulaiman telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua kampung dengan baik.  Haji Sulaiman banyak membantu keluarga Embong walaupun orang kampung menyisihkan mereka.  Haji Sulaiman mencadangkan agar Saleha dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

9
Semangat kejiranan walaupun berlainan bangsa
Tauke Lim banyak membantu keluarga Embong yang sering menghadapi masalah kewangan.  Tauke Lim membenarkan Embong berhutang di kedainya.  Tauke Lim juga menghulurkan RM500 untuk Dahlia yang dapat melanjutkan pelajaran ke Jepun.

10
Pengekalan identiti bangsa dan jati diri
Azhari menghadiahkan sepasang kain songket berbenang emas kepada Dahlia sebagai tanda kenang-kenangan dan berpesan kepada Dahlia agar sentiasa mengingati asal-usulnya sebagai orang Melayu



4 ulasan:

Fung Kiong berkata...

Terima kasih tuan.

Unknown berkata...

Tq

Unknown berkata...

mantap boleh ingat time exam esok doakan tuan

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih cikgu