LAMAN WEB INTERAKSI GURU DAN PELAJAR

LAMAN BAHASA MELAYU INI DIWUJUDKAN SEBAGAI KEMUDAHAN GURU DAN PELAJAR BERINTERAKSI SERTA SEBAGAI PENGUKUHAN SITUASI PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN DI DALAM KELAS. SEMOGA PELAJAR KELAS 4K1, 4K2, DAN PELAJAR KELAS 5 SAINS SMK SERI LONDANG DAPAT MENGGUNAKAN BLOG INI SEBAGAI TEMPAT UNTUK MEMPERKASAKAN KEMAHIRAN BERBAHASA TERUTAMA MURID KELAS 5 SAINS BAKAL MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU (1103) SPM 2018 . SEMOGA ANDA SENTIASA CEMERLANG. SEBAGAI MAKLUMAN, SAYA SENTIASA MENAMBAH MENU BAHAN BAHASA DI SUDUT KANAN BLOG INI UNTUK MEMUDAHKAN PELAJAR MENCARI BAHAN BAHASA SAMA ADA BAHAN DARIPADA MEDIA MASSA SEPERTI AKHBAR-AKHBAR TEMPATAN, RUJUKAN KAMUS DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, RUJUKAN MAJALAH TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KOLEKSI SOALAN-SOALAN PEPERIKSAAN SPM SEBENAR ,KOLEKSI SOALAN-SOALAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA. SEMOGA BAHAN-BAHAN BERKENAAN DAPAT MEMBANTU PELAJAR MENJALANKAN TUGASAN DAN SUMBER UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT BAHASA. INSYA ALLAH SAYA AKAN SENTIASA BERUSAHA UNTUK MENJADIKAN BLOG INI KONDUSIF SEBAGAI MEDIA MAYA UNTUK PELAJAR BERJAYA MENGUASAI KEMAHIRAN BERBAHASA. DOAKAN SAYA SENTIASA SIHAT MENGENDALIKAN BLOG INI SEBAIK-BAIKNYA. AAMIIIIN. SAYA JUGA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA PENGUNJUNG MAYA YANG SENTIASA MENGUNJUNGI BLOG LAMAN BAHASA MELAYU SPM INI. KEBERADAAN ANDA MEMOTIVASI SAYA UNTUK BERBAKTI KEPADA ANAK BANGSA SERTA MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGGSAAN, BAHASA JIWA BANGSA. SAYA MENGHARGAI SEKIRANYA ADA CADANGAN DARIPADA PENGUNJUNG TERUTAMA UNTUK MEMANTAP KEBERADAAN BLOG INI SEBAGAI SUMBER RUJUKAN BAHASA MELAYU.

Jumaat, 26 Januari 2018

PROGRAM MENYALIN SATU KARANGAN CEMERLANG DALAM SEMINGGU (BERMULA PADA 26/1/2018 )

PELAJAR TING 4 DAN 5 SMK SERI LONDANG PERLU MENYALIN KARANGAN CEMERLANG SEMINGGU SEKALI.  PELAJAR BEBAS MEMILIH KARANGAN SENDIRI MENGIKUT DIMENSI SAMA ADA DIMENSI DIRI, DIMENSI KELUARGA/ MASYARAKAT,  DIMENSI ANTARABANGSA DAN DIMENSI KOMSAS. DI DALAM BLOG INI, SAYA JUGA AKAN MENYELITKAN SATU KARANGAN BERDASARKAN DIMENSI  YANG DITETAPKAN

TAJUK KARANGAN MINGGU INI - DIMENSI DIRI ( 26/1/2018 - 1/2/2018)

BUKU KARANGAN PERLU DIKUMPULKAN PADA SETIAP HARI KHAMIS UNTUK
SEMAKAN GURU.

Latihan  1:

Seorang rakan anda telah terlibat dengan gejala sosial yang serius sehingga rakan anda itu mengabaikan pelajarannya.                                                                                                                                                              
Huraikan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu rakan anda itu.

Baru-baru ini, seorang rakan sekelas saya telah terlibat dengan gejala sosial yang serius. Rakan saya tersebut kerap memonteng kelas, terlibat dengan aktiviti vandalisme dan sering tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya rakan saya ini seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, guru-guru di sekolah berasa hairan kerana sejak akhir-akhir ini rakan saya itu sering mengabaikan pelajarannya. Sebagai seorang sahabat, saya bertanggungjawab untuk membantu rakan saya itu supaya  dia insaf bak kata pepatah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.  Saya berharap, usaha-usaha yang saya lakukan itu akan menyedarkan rakan saya tentang tanggungjawabnya sebagai seorang remaja dan sebagai seorang pelajar kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Jika saya gagal menangani masalah rakan saya ini, saya bimbang masalahnya bertambah kronik dan boleh mengakibatkan  dirinya ketinggalan dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh saya lakukan untuk membantu rakan saya itu?

Usaha pertama yang boleh saya lakukan untuk membantu rakan saya itu adalah dengan menasihatinya supaya tidak terjebak dalam kancah gejala sosial. Saya akan mengingatkan sahabat impak sekiranya rakan saya itu terlibat dengan gejala sosial. Saya akan menyedarkan rakan saya akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak agar tidak menghampakan harapan ibu bapanya. Rakan saya perlu sedar bahawa dia pernah mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pernah menerima anugerah pelajar terbaik PMR. Saya berharap nasihat-nasihat saya itu dapat menyedarkan rakan saya dan rakan saya akan berubah sikap serta insaf akan kesalahan yang dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya saya tidak bertindak daripada sekarang untuk menyedarkan kesilapannya, saya bimbang masalah rakan saya akan bertambah parah. Saya tidak mahu rakan saya berasa menyesal pada kemudian hari kerana apabila terhantuk baru terngadah sudah tidak berguna lagi. Tegasnya, sebagai seorang rakan sejawat, saya perlu menasihatinya supaya tidak terjebak dalam kancah gejala sosial dan saya berharap saya dan rakan saya tersebut berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal kami hadapi pada hujung tahun ini.

Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa rakan saya itu dan memberitahu  mereka tentang pembabitan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berbuat demikian kerana kemungkinan ibu bapa rakan saya itu tidak tahu tentang penglibatan anak mereka dalam kegiatan yang tidak sihat di sekolah. Saya berharap, ibu bapa rakan saya itu dapat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Besar kemungkinan, faktor kekurangan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa merupakan faktor utama menyebabkan rakan saya terjebak dalam gejala sosial. Apabila ibu bapa rakan saya sudah mengetahui masalah anak mereka, saya berharap ibu bapa rakan saya dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang serta merungkai permasalahan rakan saya. Ibu bapa rakan saya mungkin akan lebih bertanggungjawab dan mengadakan perbincangan dengan anaknya  untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi.  Saya sedar tindakan saya lakukan bukan bermakna saya menjaga tepi kain orang tetapi demi masa depan rakan karib saya tersebut saya perlu melakukannya. Jelasnya, tanggungjawab saya untuk memberitahu ibu bapa rakan saya itu diharapkan dapat membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan.

Di samping itu, saya akan mengajak rakan saya untuk berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling. Saya akan memberitahu guru kaunseling tentang penglibatan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berharap guru kaunseling dapat membantu dan membimbing rakan saya dengan menasihatinya supaya berubah sikap. Sesi kaunseling ini amat penting kerana menerusi sesi kaunseling, diharapkan rakan saya itu akan sedar dan insaf  tentang perbuatannya yang salah selama ini. Rakan saya juga dapat mengenali identiti diri dan bermotivasi untuk berubah apabila guru kaunseling memberi nasihat dan dorongan kepada rakan saya itu. Saya juga berharap, rakan saya dapat membina keyakinan diri dan menyedari betapa pentingnya pembinaan sahsiah diri dan akhlak dalam kalangan remaja sebagai benteng supaya tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Tegasnya, menerusi sesi kaunseling ini, rakan saya sebagai remaja dapat menginsafi dan menyedari peranannya sebagai remaja yang mewarisi pewaris kepimpinan negara  pada masa hadapan. Hujatul Islam Imam Al-Ghazali dalam bukunya ’Ihya’ Ulumuddin’ mengatakan bahawa  sekiranya kita ingin melihat masa depan remaja maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara. Konklusinya, saya akan mengajak rakan saya untuk berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling agar masalahnya dapat diatasi.

Seterusnya, saya akan mengajak rakan saya itu menyertai program-program yang berfaedah untuk membina sahsiah dan jati diri. Saya akan membawa rakan saya menghadiri majlis-majlis ilmu seperti program yang berunsurkan agama dan motivasi diri. Sebagai contoh, saya akan mengajak rakan saya menghadiri ceramah agama, Majlis Tazkirah, kelas mengaji al-Quran, Kem Bina Insan dan Kecemerlangan Diri. Menerusi majlis ilmu yang dihadiri itu, saya berharap rakan saya akan insaf dan lembut hatinya serta menyesal dengan apa yang pernah dilakukannya selama ini. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri dan Bina Insan pula, rakan saya pasti membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk berubah terutamanya dalam proses pembentukan minda dan akhlak terpuji. Hasil daripada pergaulan dengan rakan-rakan yang baik dalam majlis-majlis ilmu itu, rakan saya itu dapat membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Sekiranya saya berjaya menyemai amalan menyertai program pembentukan sahsian dan jati diri tersebut, sudah pasti rakan saya itu tidak akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang rosak akhlaknya dan dia juga tahu menghargai masa kerana  masa itu emas. Tegasnya, saya akan berusaha mengajak rakan saya itu menyertai program-program yang berfaedah yang boleh membentuk jati diri dan melahirkan insan terpuji.

Akhir sekali, saya juga akan sentiasa membantu rakan saya dalam pelajaran. Saya akan mengajak rakan saya menghadiri kumpulan perbincangan. Saya juga akan membantu rakan saya menerangkan tajuk-tajuk bagi memahami topik-topik pelajaran yang ketinggalan selama ini. Saya akan mengajak rakan saya mengulang kaji pelajaran di perpustakaan dan mencari rujukan serta  berbincang tentang topik-topik yang kurang difahami kerana perpustakaan merupakan gedung ilmu. Saya juga akan mengajak rakan saya menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah atau di luar sekolah. Bahkan juga, saya akan menasihati rakan saya tentang kepentingan pelajaran dalam kehidupan. Tanpa pelajaran, masa depan seseorang itu gelap. Pada masa yang sama, saya akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk membantu dan sudi mengadakan perbincangan dengan rakan saya ini. Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk  memastikan rakan saya benar-benar insaf dan tidak mengabaikan pelajaran. Sudah terang lagi bersuluh, pentingnya saya membantu rakan saya dalam pelajarannya kerana dia seorang pelajar yang pintar.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial adalah sesuatu yang murni dan perlu diteruskan. Saya berharap, usaha yang saya lakukan ini dapat membantu rakan saya supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial. Saya juga berharap, rakan saya benar-benar insaf dan bertanggungjawab terhadap masa hadapannya dan tidak menconteng arang ke muka ibu bapanya. Rakan saya juga perlu sedar bahawa sekiranya dia tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan membantunya untuk berubah. Sebagai remaja, rakan saya perlu mempunyai jati diri agar tidak mudah dipengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Tegasnya, rakan saya perlu berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan kerana pepatah Melayu mengatakan rajin dan usaha tangga kejayaan dan yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

Tiada ulasan: