LAMAN WEB INTERAKSI GURU DAN PELAJAR

LAMAN BAHASA MELAYU INI DIWUJUDKAN SEBAGAI KEMUDAHAN GURU DAN PELAJAR BERINTERAKSI SERTA SEBAGAI PENGUKUHAN SITUASI PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN DI DALAM KELAS. SEMOGA PELAJAR KELAS 4K1, 4K2, DAN PELAJAR KELAS 5 SAINS SMK SERI LONDANG DAPAT MENGGUNAKAN BLOG INI SEBAGAI TEMPAT UNTUK MEMPERKASAKAN KEMAHIRAN BERBAHASA TERUTAMA MURID KELAS 5 SAINS BAKAL MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU (1103) SPM 2018 . SEMOGA ANDA SENTIASA CEMERLANG. SEBAGAI MAKLUMAN, SAYA SENTIASA MENAMBAH MENU BAHAN BAHASA DI SUDUT KANAN BLOG INI UNTUK MEMUDAHKAN PELAJAR MENCARI BAHAN BAHASA SAMA ADA BAHAN DARIPADA MEDIA MASSA SEPERTI AKHBAR-AKHBAR TEMPATAN, RUJUKAN KAMUS DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, RUJUKAN MAJALAH TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KOLEKSI SOALAN-SOALAN PEPERIKSAAN SPM SEBENAR ,KOLEKSI SOALAN-SOALAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA. SEMOGA BAHAN-BAHAN BERKENAAN DAPAT MEMBANTU PELAJAR MENJALANKAN TUGASAN DAN SUMBER UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT BAHASA. INSYA ALLAH SAYA AKAN SENTIASA BERUSAHA UNTUK MENJADIKAN BLOG INI KONDUSIF SEBAGAI MEDIA MAYA UNTUK PELAJAR BERJAYA MENGUASAI KEMAHIRAN BERBAHASA. DOAKAN SAYA SENTIASA SIHAT MENGENDALIKAN BLOG INI SEBAIK-BAIKNYA. AAMIIIIN. SAYA JUGA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA PENGUNJUNG MAYA YANG SENTIASA MENGUNJUNGI BLOG LAMAN BAHASA MELAYU SPM INI. KEBERADAAN ANDA MEMOTIVASI SAYA UNTUK BERBAKTI KEPADA ANAK BANGSA SERTA MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGGSAAN, BAHASA JIWA BANGSA. SAYA MENGHARGAI SEKIRANYA ADA CADANGAN DARIPADA PENGUNJUNG TERUTAMA UNTUK MEMANTAP KEBERADAAN BLOG INI SEBAGAI SUMBER RUJUKAN BAHASA MELAYU.

Rabu, 31 Januari 2018

PROGRAM MENYALIN KARANGAN MINGGU KEENAM (5/2 -9/2/2018)

KARANGAN BERPANDU

Gambar di bawah menunjukkan punca-punca kemalangan jalan raya. Huraikan pendapat anda tentang punca-punca kemalangan jalan raya. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA KEMALANGAN JALAN RAYA


SIKAP PENGGUNA JALAN RAYA
KEADAAN STRUKTUR JALAN RAYA
PENINGKATAN AKTIVITI LUMBA HARAM

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini  berkata , “Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama-sama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Sekiranya, langkah proaktif tidak dijalankan dan sikap masyarakat tidak berubah, sudah pasti bilangan ibu bapa kehilangan anak, isteri menjadi janda, dan suami  menjadi duda akan berterusan. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya. Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.. Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi had laju ditetapkan terutamanya ketika memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh tajam kerana malang tidak berbau. Di samping itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung akan  menyebabkan kenderaan mereka sukar dikawal dan berakhir dengan kemalangan. Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan kemalangan.  Sekiranya, sikap pemandu tidak berubah, statistic kemalangan jalan raya akan terus meningkat saban tahun. Tegasnya, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan faktor utama penyumbang kepada berlakunya kemalangan jalan raya.

Bak kata peribahasa Melayu, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula, ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam.  Jika, Kementerian Kerja Raya tidak bertindak mengurus selia jalan raya negara dengan baik dan tidak lepas tangan sahaja tanpa menangani masalah berkenaan, sudah pasti kadar kemalangan akan terus meningkat. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang kurang memuaskan.

          Melihat dari perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjadi-jadi juga sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan pelesit-pelesit rempit terutamanya golongan belia zaman kini. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti ‘drift and drag’, gaya 'aerospace' dan 'superman' bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Pada masa yang sama, kelemahan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan juga merupakan punca kecelakaan di jalan raya. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat serta mampu memberi kesan terhadap psikologi masyarakat tempatan, namun ketidaktegasan dalam pelaksanaan undang-undang sudah pasti membuka ruang kepada sesetengah pihak untuk terus melakukan kesalahan di jalan raya. Sebagai contoh, akibat daripada ketidakjujuran segelintir pihak berkuasa yang sanggup menerima rasuah, pemandu bas yang mempunyai 13 saman dan dua waran tangkap masih terlepas daripada tindakan undang-undang. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila sebuah bas yang digunakan sejak tahun 1987 serta telah empat kali gagal dalam pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd kerana masalah brek, serta disaman 19 kali oleh pihak polis sejak tahun 1991 dan merekodkan 79 saman daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semenjak lima tahun lalu masih lagi dibenarkan beroperasi di jalan raya. Adakah pihak berkuasa terlalu alpa akan tanggungjawab mereka dalam memakmurkan alam sehingga memandang enteng terhadap perkara sebegini? Di manakah terletaknya keadilan dan keunggulan undang-undang negara sehinggakan fenomena sebegini masih diberi muka? Tuntasnya, kelemahan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi dalang dalam masalah kemalangan jalan raya.

Secara intihanya, kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak langsung telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan. Jika Singapura berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia? Malaysia boleh! Insya-Allah. Jika segala permasalahan ini dapat dirungkaikan, tidak mustahil hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh menjadi kenyataan.

PERINGATAN, FAKTOR PEMBACAAN LUAS MERUPAKAN KUNCI UTAMA KEJAYAAN ANDA UNTUK MENULIS KARANGAN YANG MEMERLUKAN FAKTA ATAU STASTIK. SEKIRANYA ANDA KURANG MEMBACA, SUDAH PASTI KARANGAN ANDA AKAN HAMBAR DAN SUKAR UNTUK MENDAPAT MARKAH CEMERLANG ATAS, CEMERLANG, ATAU CEMERLANG BAWAH.  WALAUPUN KARANGAN INI KARANGAN BERPANDU, UNSUR STATISTIK, DAN KATA PEMIMPIN MEMBERI IMPAK KEPADA  KEMATANGAN SEMASA ANDA MENZAHIRKAN SEBUAH KARANGAN CEMERLANG. FIKIR-FIKIRKAN SEBELUM ANDA MENGHADAPI PEPERIKSAAN , SAMA ADA PEPERIKSAAN PERINGKAT SEKOLAH APATAH LAGI PEPERIKSAN AWAM ( SPM 2018)


Tiada ulasan: