LAMAN WEB INTERAKSI GURU DAN PELAJAR

LAMAN BAHASA MELAYU INI DIWUJUDKAN SEBAGAI KEMUDAHAN GURU DAN PELAJAR BERINTERAKSI SERTA SEBAGAI PENGUKUHAN SITUASI PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN DI DALAM KELAS. SEMOGA PELAJAR KELAS 4K1, 4K2, DAN PELAJAR KELAS 5 SAINS SMK SERI LONDANG DAPAT MENGGUNAKAN BLOG INI SEBAGAI TEMPAT UNTUK MEMPERKASAKAN KEMAHIRAN BERBAHASA TERUTAMA MURID KELAS 5 SAINS BAKAL MENGHADAPI KERTAS BAHASA MELAYU (1103) SPM 2018 . SEMOGA ANDA SENTIASA CEMERLANG. SEBAGAI MAKLUMAN, SAYA SENTIASA MENAMBAH MENU BAHAN BAHASA DI SUDUT KANAN BLOG INI UNTUK MEMUDAHKAN PELAJAR MENCARI BAHAN BAHASA SAMA ADA BAHAN DARIPADA MEDIA MASSA SEPERTI AKHBAR-AKHBAR TEMPATAN, RUJUKAN KAMUS DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, RUJUKAN MAJALAH TERBITAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, KOLEKSI SOALAN-SOALAN PEPERIKSAAN SPM SEBENAR ,KOLEKSI SOALAN-SOALAN PERCUBAAN NEGERI-NEGERI DI MALAYSIA. SEMOGA BAHAN-BAHAN BERKENAAN DAPAT MEMBANTU PELAJAR MENJALANKAN TUGASAN DAN SUMBER UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT BAHASA. INSYA ALLAH SAYA AKAN SENTIASA BERUSAHA UNTUK MENJADIKAN BLOG INI KONDUSIF SEBAGAI MEDIA MAYA UNTUK PELAJAR BERJAYA MENGUASAI KEMAHIRAN BERBAHASA. DOAKAN SAYA SENTIASA SIHAT MENGENDALIKAN BLOG INI SEBAIK-BAIKNYA. AAMIIIIN. SAYA JUGA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA PENGUNJUNG MAYA YANG SENTIASA MENGUNJUNGI BLOG LAMAN BAHASA MELAYU SPM INI. KEBERADAAN ANDA MEMOTIVASI SAYA UNTUK BERBAKTI KEPADA ANAK BANGSA SERTA MEMPERKASAKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGGSAAN, BAHASA JIWA BANGSA. SAYA MENGHARGAI SEKIRANYA ADA CADANGAN DARIPADA PENGUNJUNG TERUTAMA UNTUK MEMANTAP KEBERADAAN BLOG INI SEBAGAI SUMBER RUJUKAN BAHASA MELAYU.

Jumaat, 26 Januari 2018

JENIS-JENIS PENGENALAN KARANGAN

Jenis-jenis pengenalan.
  1.   Pengenalan jenis umum.
  2.   Pengenalan jenis pendapat dan kata-kata pemimpin
  3.   Pengenalan jenis definisi.
  4.     Pengenalan jenis sejarah.
  5.     Pengenalan jenis lagu.
  6.     Pengenalan jenis puisi.
  7.     Pengenalan jenis iklan.
  8.     Pengenalan jenis cerita.
  9.     Pengenalan jenis fakta.
  10.     Pengenalan jenis cerita
  11.   Pengenalan jenis persoalan.


  1.            1.   Pengenalan  jenis umum.

      Penulisan pengenalan jenis umum memerlukan pelajar menulis lima jenis ayat iaitu        
      a) Ayat tema               b)   ayat rangsangan      c) frasa menarik    
      d) Unsur KBAT           e)   ayat arahan.

         Ayat tema : Merujuk kepada soalan karangan.

      Ayat rangsangan  ialah ayat yang berfungsi untuk merangsang pembaca untuk membaca karangan tersebut seterusnya dan meninggalkan kesan yang bermakna kepada pembaca atau pemeriksa. Justeru, dalam penulisan perenggan pengenalan jenis umum ini pelajar perlu mampu menulis ayat-ayat yang menarik, merujuk kepada tema berdasarkan soalan karangan dan isu yang dikaitkan seelok-eloknya berkaitan isu semasa yang hendak dikaitkan secara umum. Sebaliknya, jika ayat yang dibina tidak merangsang minat pembaca, situasi ini akan menyebabkan pengenalan anda biasa sahaja dan tidak ada ciri keistimewaan untuk memikat pembaca atau pemeriksa untuk menentukan slot markah sama ada markah cemerlang, kepujian, baik, memuaskan, kurang memuaskan dan pencapaian minimum.

       Frasa menarik : merujuk kepada peribahasa/ hadis/ maksud ayat Al Quran/
puisi/ kata-kata pemimpin/ stastitik dan sebagainya.

      Unsur KBAT:  Kesan dan akibat.

     Ayat arahan pula bermaksud ayat yang menjawab kata kunci soalan karangan yang ditugaskan. Melalui ayat arahan ini pembaca atau pemeriksa sudah tahu isi yang ingin anda tulis atau garap dalam penulisan seterusnya. Kebiasaannya ayat arahan ditulis pada bahagian akhir perenggan pengenalan.
** Perenggan pengenalan cemerlang dan sesuai dengan tahap pelajar SPM, bilangan ayat dalam perenggan pengenalan mesti mengandungi enam atau tujuh ayat.

Contoh soalan:
Kerajaan telah berusaha untuk membanteras gejala rasuah, namun amalan yang berakar umbi dalam kalangan masyarakat ini masih wujud. Pada pendapat anda, mengapakah masalah rasuah perlu dibendung?
Contoh
Kebelakangan ini, kes rasuah semakin bertambah dan nampaknya sukar dibanteras kerana melibatkan pegawai kerajaan dan swasta, ahli politik, dan orang awam. (AR1) Keadaan ini membimbangkan kita kerana jika dibiarkan, sudah tentu perkara ini akan menjadi seperti api di dalam sekam. (AR2) Fenomena ini sekali gus akan melahirkan masyarakat yang tiada integriti, dan boleh merosakkan masyarakat dan ekonomi negara.(AR3) Bahkan juga, isu rasuah boleh menyebabakan sesebuah kerajaan yang kukuh menjadi lemah, dan tidak dipercayai oleh msyarakat. [ AR4 ] Sejarah telah menunjukkan isu rasuah meruntuhkan sesebuah kerajaan seperti yang berlaku di  negara Jepun,  dan Thailand. [ AR 4 ] [ Oleh sebab itu, semua pihak samada ada kerajaan mahupun masyarakat sesebuah Negara harus berusaha untuk membanteras gejala rasuah kerana rasuah mendatangkan pelbagai masalah kepada masyarakat, ekonomi, dan maruah negara. ( AA)

Contoh soalan 2.
Di negara kita, kes kemalangan jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi kes kemalangan jalan raya.

Hampir setiap hari media masa sama ada media elektronik mahupun media cetak menyiarkan berita tentang kemalangan jalan raya. ( AR1) Pada musim-musim perayaan terutamanya, banyak pengguna jalan raya kehilangan nyawa atau mengalami kecacatan anggota akibat terlibat dalam kemalangan. (AR2)  Dari segi stastik pula, kadar kemalangan jalan raya di negara kita kadar kemalangan yang tertinggi di dunia. (AR3) Menurut stastitik bagi tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri 2015, sebanyak 20,458 kemalangan yang melibatkan 330 kematian telah direkodkan oleh Polis Di Raja Malaysia (Stastitik). Justeru, stastitik berkenaan merupakan kejutan yang menakutkan kita sebagai masyarakat Malaysia. ( AR4) Oleh itu, pihak berkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan perlu mengambil langkah drastik dan berkesan untuk mengatasi masalah ini. (AA)
Dalam jawapan contoh pengenalan di atas ( AR1 ) ialah ayat rangsangan 1, (AR2) ayat rangsangan 2, (AR3) ayat rangsangan 3,  (Ayat Contoh Statistik ) dan (AA) ayat arahan.

2. Pengenalan jenis definisi.
Isu penderaan kanak-kanak masih lagi berlaku walaupun negara kita sudah mencapai kemajuan yang pesat. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan kes ini sentiasa berlaku dan berulang.

“Dera” bermaksud pukulan dengan rotan, tali pinggang, atau alat-alat lain sebagai hukuman. “Mendera” bermaksud memukul dengan menggunakan alat-alat yang dinyatakan tadi. “Penderaan” pula bermaksud melakukan perbuatan mendera. Sebenarnya penderaan terbahagi kepada dua jenis iaitu penderaan berbentuk fizikal dan penderaan berbentuk mental. Bedasarkan keratin akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 April 2016,
Sebanyak 1,531 kes penderaan kanak-kanak telah dilaporkan di seluruh negara dengan 46 daripadanya melibatkan kematian sejak 2011 sehingga Mac 2016.
Berdasarkan kajian, banyak faktor penyebab berlakunya gejalaini berlaku terutamanya kepada kanak-kanak.

3. Pengenalan jenis pendapat pemimpin.
    Kepentingan bahasa Inggeris kepada rakyat dan negara. Bincangkan.

Tun Dr. Mahathir pernah menyatakan bahawa kita tidak akan mencapai kemajuan yang cepat jika kita tidak menumpukan perhatian dalam penguasaan bahasa Inggeris. Beliau mengatakan bahawa kebanyakan ilmu yang terdapat dalam dunia ini terungkap dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, kita mestilah memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita. Menurut beliau bahasa Inggeris banyak kepentingan atau kebaikannya, sama ada kepada rakyat mahupun negara.


  4. Pengenalan jenis suasana atau situasi.
Jiran anda telah ditimpa kemalangan ngeri kerana rumah tertimbus oleh runtuhan batu. Gambarkan keadaan dan suasana pada masa itu.
Apabila saya sampai di tempat kejadian itu, saya terdengar jeritan manusia dari celah-celah rekahan batu. Selain itu, tangisan bayi dan kanak-kanak jelas kedengaran dari sebuah bilik yang berdekatan dengan runtuhan batu tersebut. Pada ketika itu, pasukan penyelamat masih belum tiba lagi. Saya menjadi gelabah kerana buntu untuk melakukan sesuatu tindakan. Tambahan pula. tiada alat yang boleh saya gunakan untuk membantu saya menyelamatkan mangsa. Namun begitu saya menggagahkan semangat dan mencuba untuk melakukan sesuatu supaya mangsa yang berada di bawah runtuhan batu itu dapat diselamatkan.


  5. Pengenalan jenis persoalan.
Akhir-akhir ini, kejadian kemalangan di jalan raya berlaku hampir setiap hari. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

Tahukah anda bahawa hampir setiap hari ada sahaja kemalangan di jalan raya yang dilaporkan di media massa? Siapakah yang patut disalahkan, penggunaan jalan raya atau pihak kerajaan? Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku?

  6. Pengenalan jenis sejarah.
Bincangkan punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak di negara kita merosot.

Pada tahun 1972, pasukan bola sepak negara kita telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan bola sepak Sukan Olimpik di Munich, Jerman. Kejayaan ini diulang pada tahun 1980 apabila pasukan kita layak menyertai Sukan Olimpik di Moscow, Rusia. Pada akhir tahun 1970-an dan awal tahun 1980-an pula, keupayaan pasukan bola sepak negara kira setanding dengan keupayaan pasukan bola sepak Korea Selatan. Namun demikian, apakah punca-punca yang menyebabkan mutu sukan bola sepak negara kita sekarang ini begitu jauh merosot atau ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain?
 7.  Pengenalan jenis berita .
Sistem pengangkutan di negara ini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi kemudahan para pengguna.
Berikan pendapat anda tentang sistem pengangkutan moden di negara ini.

‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet. Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi LRT dan lain-lain lagi.

 8.  Pengenalan jenis peribahasa.
Peribahasa ”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

‘Jiran sepakat membawa berkat’. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep kejiranan bukan di sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran yang tidak mengetahui bahawa tetangga mereka sedang mengalami masalah, malah musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan serta terkejut apabila dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi mangsa pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep pemuafakatan, sudah barang pasti pelbagai faedah diperoleh masyarakat. Justeru, kejadian yang menyedihkan seperti peristiwa di atas tidak akan berlaku dalam kalangan masyarakat.  Hal ini tentu menggenapi maksud peribahasa yang terungkap di awal perenggan
ini.

9.   Pengenalan jenis dialog.     
      Ceritakan sebuah karangan yang berkait dengan peribahasa air yang dicincang tidak  akan putus.

“Kataku pergi! Pergi!!” pekik Kassim.
“Pergi kataku!” kataku lagi.
“Mengapa mesti aku pergi?” balas Aminah, isteri Kassim sambil menangis teresak-esak menahan kesakitan.
“Bukankah ini rumahku juga?” tambahnya lagi. Mata kirinya yang lebam kerana dipukul sebelum ini sudah tidak boleh dibuka lagi. Namun, Aminah sedar, sekeras-keras batu akan lembut juga apabila terkena titisan air. Aminah sedar akan sifat Pak Karim suaminya yang kerap membuat keputusan terburu-buru tanpa usul periksa . Aminah juga sedar, sikap pemarah Pak Karim pada hari itu sungguh berbeza. Kemungkinan juga,suaminya mempunyai masalah pada waktu tersebut. Aminah tetap sabar dan terus mendiamkan diri selepas itu.
       Hatinya berkata-kata, “ Sabar separuh daripada iman, jika aku terus melawan tindakaku  ibarat api dengan minyak akan terus menyala.”


 10.  Pengenalan jenis puisi.
Anda telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena
Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.
Tulis esei anda itu selengkapnya.

Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.
Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.


11.  Pengenalan jenis lagu.
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.

Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang
Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?



12.  Pengenalan Jenis petikan Hadis dan Al Quran.
Tangungjawab pelajar menumpukan pelajaran amat penting kerana hanya pendidikan mampu mengubah kehidupan keluarga dan diri mereka kelak. Bincangkan.
Allah berfirman dalam Surah Al-“Asr, “ Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Pengertian Surah Asr ini amat bermakna kepada seorang pelajar, serta tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar dan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kepada kedua-dua ibu bapa mereka. Pelajar perlu belajar bersungguh dan berjaya dalam pelajaran untuk memastikan mereka mampu mengubah kehidupan keluarga dan untuk kebahagian kehidupan mereka pada masa mendatang. Justeru, sebagai seorang pelajar, mereka perlu tidak mengabaikan tanggung jawab mereka sebagai seorang pelajar.

           Apabila kita merujuk, dan meneliti setiap pengenalan di atas, pengenalan- pengenalan berkenaan mempunyai kekuatan dan  impaknya tersendiri kepada pembaca atau kepada pemeriksa. Namun,keberkesanan pengenalan bergantung kepada kebijaksanaan pelajar semasa memilih dan menentukan pengenalan paling efektif dan sesuai berdasarkan tema atau soalan yang dikemukan semasa peperiksaan.


Insya Allah, pengenalan di atas akan dikemaskini dari semasa ke semasa tetapi
pelajar perlu mengaitkan pengenalan dengan Kaedah Pengembangan Idea Perenggan Pengenalan yang saya gunakan kerana setiap alemen ayat yang diketengahkan perlu ada untuk memastikan pengenalan yang dihasilkan mantap. Namun, pelajar perlu faham setiap guru mempunyai kaedah menghasikan perenggan isi, pilihlah pengenalan yang dianggap mudah dan sesuai.


JADUAL  PENGEMBANGAN IDEA PERENGGAN PENGENALAN




PERKARA
PENERANGAN
PENGENALAN
(FIKIRKAN JENIS PERENGGAN)

AYAT RANGSANGAN  1
(JELASKAN KAITAN PENGENALAN DAN TEMA)

AYAT RANGSANGAN  2
(HURAIKAN-LEBIH LANJUT TEMA)

AYAT RANGSANGAN  3
(PERJELASKAN LAGI TEMA)

FRASA MENARIK
MAKLUMAN- FRASA MENARIK BOLEH DISELITKAN PADA BAHAGIAN AYAT DAN UNSUR KBAT ( BERGANTUNG KEPADA KREATIVITI PELAJAR-KEMUNGKINAN SATU PERENGGAN PELAJAR BOLEH MENYELIT LEBIH DARIPADA SATU FRASA MENARIK)
UNSUR KBAT
(KESAN DAN AKIBAT TEMA JIKA DIAMBIL TINDAKA/JIKAT TIDAK DIAMBIL TINDAKAN)

AYAT ARAHAN
(PERSOALAN BERKAITAN TEMA- SAMA ADA KELEBIHAN, LANGKAH-LANGKAH, ATAU KESAN/AKIBAT)


PENGHASILAN SERTA PEMILIHAN JENIS PENGENALAN PERLU DIAMBIL BERAT DAN PERLU LATIHAN BERTERUSAN KERANA PENGENALAN SANGAT PENTING UNTUK MENARIK MINAT PEMERIKSA SERTA MENENTUKAN IMPRESION PERTAMA KARANGAN ANDA. SEKIRANYA ANDA DAPAT MENARIK MINAT PEMERIKSA PADA AWAL KARANGAN TAHNIAH, SEKIRANYA TIDAK, PEMERIKSA TELAH MEMBUAT ANDAIAN SLOT MARKAH KARANGAN ANDA SECARA UMUM.

BAHKAN PENGENALAN MENGAMBARKAN APAKAH ISI YANG ANDA
FOKUSKAN TEPAT DAN PEMERIKSA SUDAH DAPAT MENGESAN IDEA ATAU
ISI ANDA SENARAIKAN MENGIKUT KEHENDAK TEMA ATAU SOALAN KARANGAN.

Tiada ulasan: