Khamis, 25 Januari 2018

HASIL PERBINCANGAN KUMPULAN SEMASA LATIHAN MENGEMBANGKAN PERENGGAN PENGENALAN, PERENGGAN ISI DAN PERENGGAN PENUTUP BERDASARKAN SOALAN KARANGAN BERPANDU (24/1/2018 -HARI RABU)


HASILAN KARANGAN MENGIKUT TUGASAN KUMPULAN- HASIL KARANGAN INI BELUM DISEMAK DAN DIKUMPULKAN  APABILA MASA DIPERUNTUKKAN UNTUK PELAJAR BERBINCANG TAMAT.

HASIL AKTIVITI KUMPULAN PERTAMA

                RUANGAN ULASAN GURU:-
                Hasilan pengenalan karangan di atas amat baik, tahniah. Istilah aforisme berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud ungkapan yg tepat, ringkas, dan jelas yg mengandungi atau melahirkan suatu kebenaran umum, pepatah, bidalan, peribahasa justeru istilah berkenaan sesuai digunakan untuk bahagian pengenalan karangan  dan  pengenalan berkenaan jenis pengenalan peribahasa. Namun terdapat satu kesalahan tatabahasa di kesan iaitu  kesalahan penggunaan kata sendi "di"  diatas.....perlu dijarakkan kerana ada unsur ruang dan sepatutnya di atas. Elakkan daripada melakukan kesalahan sama ada ejaan, tatabahasa, dan binaan struktur ayat pada perenggan pengenalan kerana kesalahan anda lakukan akan memberi kesan kepada impresion pemeriksa.



HASIL AKTIVITI KUMPULAN KEDUA

                RUANGAN ULASAN GURU:-
                Hasilan isi karangan di atas baik, cuma berhati-hati dengan binaan ayat anda terutama ketika mengaitkan ayat atau huraian isi dengan peribahasa. Selain itu,  pada ayat huraian1, huraian idea agak kurang tepat kerana dalam huraian berkenaan seolah-olah anda sebagai pemimpin, memastikan masyarakat perlu bergotong-royong sepatutnya anda sebagai ahli masyarakat menunjukkan contoh yang baik dengan melibatkn diri dalam aktiviti bergotong royong agar masyarakar sedar betapa penting amalan bergotong royong. Pastikan juga, kaitan ayat huraian sebelum dan huraian semasa dan selepas jelas, agar pertautan antara frasa dalam antara ayat huraian harmoni. Selain itu, pastikan usur KBAT, jelas dengan penggunaan penanda wacana , " Sekiranya" amalan bergotong royong menjadi budaya masyarakat setempat sudah pasti   masyarakat....................... Selain itu, penggunaan kata pemeri "adalah dan ialah " jika digugurkan tidak akan merosakkan binaan ayat malah memantapkan binaan ayat anda, contoh , "Jelaslah bahawa amalan bergotong royong dapat melahirkan sikap prihatin dan bertolak ansur dalam kalangan masyarakat. Sebagai makluman, penggunaan kata pemeri ialah dan adalah tidak digalakkan dalam binaan ayat bahasa Melayu.




                                       HASIL AKTIVITI KUMPULAN KETIGA

                RUANGAN ULASAN GURU:-
           Hasilan perenggan isi karangan kumpulan di atas  perlu diperbaik, terutama binaan ayat. Contohnya ayat pertama, sepatutnya pelajar membina ayat yang lebih mantap seperti  " Di samping itu, amalan bergotong royong dapat melahirkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana apabila aktiviti bergotong royong menjadi amalan masyarakat setempat, masyarakat akan saling membantu melakukan aktiviti kemasyarakatan dan sudah pasti amalan kerjasasama ini akan mengeratkan hubungan  silaturahim antara kalangan ahli masyaraka setempat. Selain itu, pastikan frasa menarik tepat penggunaannya terutama di bahagian penutup karangan, " Sudah terang lagi bersuluh, usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat perlu disemai setiap masa agar amalan berkenaan tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. 
                Pastikan tulisan anda baik dan tidak menyukarkan pemeriksa semasa membaca  dan memeriksa karangan anda. Belajarlah menghasilkan tulisan yang baik dan menarik dari sekarang kerana tulisan juga boleh mengganggu kosentrasi pemeriksan, kesannya pemeriksan tidak akan tenang memeriksa karangan seperti di atas.
                  


HASIL AKTIVITI KUMPULAN KEEMPAT



              RUANGAN ULASAN GURU:-
              Mantapkan binaan ayat, contohnya ayat di permulaan perenggan , " Akhir sekali, amalan bergotong royong perlu menjadi amalan masyarakat setempat agar persekitaran kampung, atau taman akan sentiasa kondusif.  ......akan meningkatkan kebersihan sesuatu persekitaran terlampau umum. Selain itu, ayat contoh tidak mantap dan kumpulan ini tidak menyenaraikan contoh aktiviti bergotong royong yang boleh dijalankan dalam kalangan masyarakat setempat seperti membersikan tepi jalan.masuk ke taman perumahan atau kampung, membersihkan longkang tersumbat, dan lain-lain lagi. Selain itu, pastikan kepanjangan setiap perenggan seimbang, justeru aplikasi kaedah Jadual Pengembangan Idea Perenggan dan sedapat mungkin tulis setiap ayat yang dicadangkan secara langsung karangan anda akan seimbang kepanjangannya.

           Perenggan penutup, sangat baik jika ideanya dikembangkan lagi agar seimbang dengan kepanjangan perenggan pengenalan dan perenggan isi. Jika boleh kaitkan kepentingan bergotong royong dalam mewujudkan suasana harmoni masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan sudah pasti perpaduan antara masyarakat dapat dipereratkan lagi agar masyarakat dunia kagum keakraban hubungan antara masyarakat berbilang bangsa di negara kita. Tambahkan unsur sejarah berkaitan beberapa kes perkauman yang pernah berlaku di Malaysia.....cari maklumatnya dan inilah kematangan pelajar semasa mengarang. Banyakkan membaca kerana idea dan cara menghurai karangan bergantung kepada tahap pembacaan pelajar, semakin banyak pelajar membaca semakin banyak idea dan membantu pelajar menulis secara kritis dan kreatif.

                  Selain itu, saya telah mengedarkan penanda wacana, dan frasa menarik yang boleh digunakan semasa mengarang pada setiap perenggan sama ada perenggan pengenalan, perenggan isi pertama, perenggan isi kedua, dan seterusnya, juga pada perenggan penutup Begitu juga, cara untuk menggunakan frasa untuk mengaitkan ayat atau frasa dengan peribahasa. Gunakanlah bahan-bahan berkenaan semasa mengarang. Kemahiran mengarang bukan boleh dibaca tetapi perlu diaplikasi, dan bukan sahaja semasa latihan di dalam kelas, pelajar juga digalakkan menulis karangan sebagai latihan kendiri dan menyerahkan latihan berkenaan untuk disemak oleh guru.

              Ulasan dan komen saya di atas merupakan cadangan, dan pelajar boleh dan bebas membina ayat yang lebih kreatif untuk menghasilkan karangan cemerlang. Harap maklum.

SEBAGAI AKTIVITI LATIHAN MELENGKAPKAN KARANGAN, PELAJAR BOLEH MENGGUNAKAN  HASIL PERBINCANGAN DI ATAS UNTUK MENULIS KARANGAN LENGKAP DENGAN MEMPERBAIK KESALAHAN DAN TEGURAN  PADA BAHAGIAN
HASILAN KUMPULAN. PELAJAR BOLEH MERUJUK KARANGAN DI BAWAH SEBAGAI PANDUAN. BERUSAHALAH MENGHASILKAN KARANGAN CEMERLANG BERTAF A+

SAYA MOHON KEPADA FATIHA MENGUMPULKAN BUKU KARANGAN PADA HARI ISNIN UNTUK SEMAKAN. SEPATUTNYA ADA DUA KARANGAN YANG PERLU DIHATAR
PERTAMA KARANGAN BERPANDU DAN KEDUA PROGRAM MENYALIN KARANGAN.

CADANGAN KARANGAN BERPANDU BERTAJUK "KELEBIHAN AMALAN BERGOTONG ROYONG.

JADUAL  PERENGGAN PENGENALAN BERPANDU


PERKARA
PENERANGAN
PENGENALAN
(PERENGGAN JENIS PERIBAHASA)
Bersatu teguh, bercerai roboh, aforisme ini memberikan maksud yang mendalam dalam benak jiwa masyarakat di negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
AYAT RANGSANGAN  1
Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini menyaksikan amalan bergotong-royong semakin giat dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.
AYAT RANGSANGAN  2
Kesedaran ini disokong oleh pihak Kementerian Kesejateraan Bandar dan Kerajaan Tempatan serta dibantu pula oleh media massa agar masyarakat cakna kepentingan amalan bergotong royong.
AYAT RANGSANGAN  3
Realitinya, aktiviti bergotong-royong memang banyak kelebihannya.
AYAT CONTOH
Antaranya, aktiviti bergotong royong dapat membina jati diri masyarakat dan mengelakkan masyarakat daripada bersikap mementingkan diri sendiri ibarat enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
FRASA MENARIK
Abaikan, kerana dua peribahasa telah diselitkan, tetapi pelajar yang bijak akan mengambil kesempatan menyelitkan lagi frasa menarik.
UNSUR KBAT
Sekiranya amalan bergotong-royong menjadi budaya dan amalan masyarakat, perpaduan antara kaum di negara kita akan dapat dipereratkan sekaligus menghindar daripada masalah perkauman.
AYAT ARAHAN
Persoalannya, apakah kelebihan bergotong-royong dalam kalangan masyarakat negara.



JADUAL  PERENGGAN ISI PERTAMA KARANGAN BERPANDU

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Pada hemat saya, salah satu kelebihan amalan bergotong-royong dapat melahirkan masyarakat prihatin dan bertolak ansur dalam pelbagai urusan.
AYAT HURAIAN 1
Hal ini kerana melalui amalan bergotong royong sikap prihatin dan sikap bertolak ansur dalam kalangan masyarakat dapat disemai.
AYAT HURAIAN 2
Sikap prihatin dalam kalangan masyarakat ini akan mewujudkan semangat bantu-membantu bagai aur dengan tebing terutama membantu golongan yang kurang bernasib baik.
AYAT HURAIAN 3
Amalan baik ini apabila dipraktikkan sekurang-kurangnya akan mengurangkan bebanan masyarakat seperti anak-anak yatim piatu, dan golongan masyarakat miskin mengharungi kehidupan yang semakin banyak ranjau dan duri terutama menghadapi masalah inflasi dan kenaikan harga barang yang melampau kini.
AYAT CONTOH
Pelbagai aktiviti gotong-royong boleh dilakukan untuk membantu golongan kurang bernasib baik seperti membersihkan rumah anak yatim piatu, selain membantu mereka membuat aktiviti amal untuk tujuan mengumpul dana untuk mengurangkan beban mereka.
FRASA MENARIK
Peribahasa Melayu ada mengatakan, “ cubit peha kanan, peha kiri terasa”  begitulah hakikatnya kehidupan kita dan tangan kanan memberi kanan, sorokkan tangan kiri.
 UNSUR KBAT
Jika, amalan bergotong-royong menjadi amalan dan budaya masyarakat sudah pasti bebanan golongan kurang bernasib baik dapat dikurangkan dan kehidupan mereka lebih terbela.
AYAT  PENEGASAN
Sudah terang lagi bersuluh amalan bergotong-royong dapat melahirkan masyarakat prihatin dan bertolak ansur dalam pelbagai urusan.

JADUAL  PERENGGAN ISI KEDUA KARANGAN BERPANDU

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Bahkan juga, amalan bergotong royong dapat memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia.
AYAT HURAIAN 1
Sebagaimana kita sedia maklum, masyarakat Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan pelbagai etnik kecil yang lain.
AYAT HURAIAN 2
Oleh sebab itu, kepelbagaian kaum di Malaysia mewujudkan kepelbagaian agama, sosio budaya dan sosio masyarakat.
AYAT HURAIAN 3
Penduduk dunia amat takjub dengan nilai-nilai murni kaum di Malaysia sehingga dapat meneruskan kedamaian dan keharmonian antara kaum sehingga kini.
AYAT CONTOH
Situasi keharmonian masyarakat negara Malaysia dipacu oleh aktiviti bergotong royong yang diamalkan oleh masyarakat seperti membersihkan kawasan taman dan kawasan kampung, membersihkan masjid dan surau, dan sebagainya kerana kerja yang berat akan menjadi ringan bak kata peribahasa Melayu, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.
FRASA MENARIK
Aktiviti bergotong royong ini merupakan tempat masyarakat pelbagai kaum di Malaysia berkomunikasi dan berinteraksi sehinggakan melahirkan sifat kesepakatan, melahirkan sikap menghormati agama dan amalan budaya kaum lain, serta berkasih sayang semasa menjalankan aktiviti berkonsepkan kerjasama bagai aur dengan tebing.
 UNSUR KBAT
Tidak hairanlah kita, jika amalan ini berterusan sudah pasti perpaduan antara kaum akan terus tercipta dan berkekalan sehingga ke hari ini.
AYAT  PENEGASAN
Tegasnya, amalan bergotong royong dapat memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia.

JADUAL  PERENGGAN ISI KETIGA KARANGAN BERPANDU

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Selain itu, aktiviti bergotong royong akan menjadikan kerja yang berat menjadi ringan dan cepat.
AYAT HURAIAN 1
Sebagaimana saya perkatakan dalam perenggan sebelumnya, aktiviti bergotong royong dapat meringankan kerja-kerja yang berat yang tidak boleh dipikul secara individu semasa menjalankan aktiviti bergotong royong di kawasan taman atau kampung.
AYAT HURAIAN 2
Hal ini kerana aktiviti bergotong royong boleh dilakukan apabila masyarakat setempat bersama menjalankan aktiviti setempat atau dalam khariahnya.
AYAT HURAIAN 3
Dengan adanya kerjasama antara masyarakat setempat sahaja aktiviti bergotong-royong dapat dilaksanakan dengan cepat kerana kesepakatan membawa berkat.
AYAT CONTOH
Sebagai contoh kerja-kerja berat seperti membersihkan kawasan taman hanya boleh dilakukan secara bekerjasama terutamanya kudrat golongan muda kerana Allahyarham Bung Soekarno bekas Presiden Indonesia pernah berkata, “Berikan aku 1000 orang tua, niscaya akan kucabut semeru dari akarnya, berikan aku 1 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia.”

FRASA MENARIK
Abaikan kerana lebih daripada satu frasa menarik telah diselitkan dalam perenggan ini.
 UNSUR KBAT
Sekiranya aktiviti bergotong-royong dijalankan,sudah pasti kawasan taman atau kampung ceria dan akan meningkatkan imej kampung dan masyarakat setempatnya.
AYAT  PENEGASAN
Berdasarkan huraian saya di atas, jelaslah bahawa aktiviti bergotong royong akan menjadikan kerja yang berat menjadi ringan dan cepat.

JADUAL  PERENGGAN ISI KEEMPAT KARANGAN BERPANDU
( IDEA KBAT- SELITKAN SATU ISI TAMBAHAN DI LUAR DARIPADA SOALAN KARANGAN BERPANDU (RAJAH PETA MINDA) – PERENGGAN INI DICADANGKAN KEADA PELAJAR YANG MAMPU SAHAJA)

TEMA/ KATA KUNCI ISI
Akhirnya, aktiviti bergotong royong dapat dapat menjimatkan belanja terutama pabila melakukan majlis keramaian dan kenduri-kendara.
AYAT HURAIAN 1
Seyogia, amalan bergotong royong semasa aktiviti keramaian dan kenduri-kendara perlu diaplikasi semula dalam kalangan masyarakat kerana aktiviti sepertiini bagai bunga layu di taman,  tidak diendahkan oleh kalangan masyarakat zaman kini.
AYAT HURAIAN 2
Hal ini kerana pada zaman globalisasi ini, masyarakat amat sibuk dengan kerjaya dan aktiviti mereka sehingga mengabaikan amalan yang diwarisi oleh masyarakat dahulu terutama masyarakat kampung.
AYAT HURAIAN 3
Bahkan juga, aktiviti berogotong royong tidak menjadi budaya masyarakat sekarang kerana ekonomi masyarakat kini agak kukuh dan mereka mampu menyerahkan pihak pembekal menyediakan segala perkhidmatan sepanjang kenduri-kendara dijalankan.
AYAT CONTOH
Sebagai contoh masyarakat zaman sekarang lebih suka mengharapkan pembekal menyediakan perkhidmatan menyediakan makanan, khemah, menghias pengantin, serta kerja pembersihan selepas majlis sedangkan kos perkhidmatan berkenaan terlampau tinggi.
FRASA MENARIK
Sedangkan sekiranya aktiviti gotong royong dijalankan kos atau perbelanjaan majlis lebih murah dan paling kita sedih aktiviti bergotong royong yang dahulunya cukup kita banggakan bagaikan ditelan dek zaman.
 UNSUR KBAT
Sekiranya aktiviti bergotong royong djalankan, sudah pasti kos perbelanjaan majlis akan dapat dikurangkan dan mempereratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan keluarga dan masyarakat setepat.
AYAT  PENEGASAN
Jelaslah bahawa aktiviti bergotong royong dapat dapat menjimatkan belanja terutama pabila melakukan majlis keramaian dan kenduri-kendara.

JADUAL  PERENGGAN PENUTUP KARANGAN BERPANDU

PERKARA
PENERANGAN
AYAT PENYIMPUL
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, ingin saya tegaskan bahawa amalan bergotong royong memang banyak kelebihannya.

AYAT CADANGAN
Sebagaimana cadangan yang telah saya selitkan dalam perenggan isi, amalan bergotong royong dapat menyemai sikap prihatin dan bertolak ansur dalam kalangan masyarakat, dapat memupuk perpaduan kaum, dapat menjadikan kerja berat menjadi ringan dan cepat, dan amalan bergotong royong dapat menjimatkan belanja.

AYAT HURAIAN CADANGAN
Oleh sebab itu, mayarakat zaman moden perlu membuang sikap mengutamakan kepentingan diri, sikap meninggi diri serta memandang rendah kalangan masyarakan dan kaum lain dengan melibatka diri dalam aktiviti bergotong yang banyak manfaatnya.

AYAT HURAIAN MENGAPA
CADANGAN DIUTARAKAN
Sekiranya amalan bergotong royong diabaikan individu dalam kalangan masyarakat akan disisih dan mereka bagaikan katak di bawah tempurung tidak tahu perkembangan berlaku di kawasan setempat.


UNSUR KBAT
Jika masyarakat tidak melibatkan diri dalam aktiviti bergotong royong hubungan silaturahim antara mereka dengan orang lain atau antara kaum dengan kaum lain akan renggang dan boleh menyebabkan berlakunya salah faham dan permusuhan.

FRASA MENARIK
Oleh sebab itu, aktiviti bergotong royong akan mempererat hubungan antara masyarakat dan kaum ibarat cubit peha kiri peha kanan terasa dan keharmonian masyarakat dapat dikekalkan.

AYAT HARAPAN
Konklusinya, amalan bergotong royong memang banyak kelebihannya dan perlu menjadi budaya dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan agama.






Tiada ulasan: